bahagiakan kami dunia akhirat!

Daisypath Anniversary tickers

Amalan Ibu Mengandung

SUDAH menjadi kebiasaan ibu-ibu mengandung menghadapi pelbagai masalah sepanjang proses kehamilan. Masalah demi masalah yang dialami ini hakikatnya menjadikan wanita hamil itu dalam keadaan yang tidak selesa malah sehingga menimbulkan komplikasi yang lebih serius sama ada dari segi kesihatan fizikal dan mental.

Mahu tidak mahu kehamilan dilalui oleh majoriti wanita yang berkahwin. Hakikatnya Islam meletakkan kemuliaan yang paling tinggi kepada kaum ibu melebihi tiga kali kemuliaan berbanding kaum bapa dalam hal penghormatan yang harus diberikan oleh anak-anak.

Malah hadis riwayat al-Hassan bin Safwan, Tabrani dan Ibnu As-Sahin dan Salamah menjelaskan lagi kelebihan yang diperoleh wanita yang mengandung, melahir, menyusu dan memelihara anaknya.

Apakah reda hai golongan wanita bahawasanya seorang wanita yang sedang hamil daripada suaminya yang telah menikahi dengan halal (menurut syariat Islam). Allah memberikan pahala kepadanya sebagaimana pahala orang berjihad fisabilillah. Apabila ia berasa sakit untuk melahirkan anaknya, maka ia mendapat pahala yang banyak sekali sehingga manusia tidak mengerti berapa banyaknya pahala itu. Apabila telah lahir lalu disusui anak, bagi ibu itu setiap teguk dari susunya, Allah memberi dia pahala satu kebaikan. Apabila si ibu semalaman tidak tidur dan memelihara anaknya yang sakit, maka Allah memberi pahala seperti memerdekakan 70 orang hamba dengan ikhlas untuk membela agama Allah.

Menyedari hakikat ini, Telaga Biru Sdn. Bhd. di samping menerbitkan album-album nasyid dan motivasi telah mengorak langkah mengeluarkan bahan pendidikan dan bimbingan Islam. Terbaru ia menerbitkan buku berjudul Amalan Ibu Mengandung: Menurut al-Quran, as-Sunnah dan Pengalaman.

Inisiatif terbaru ini didokong oleh tiga orang penulis yang berwibawa untuk menyorot hal-hal berkaitan ibu mengandung. Mereka ialah penceramah bebas yang tidak asing lagi, Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, Muhammad Zakaria dan Jaafar Salleh.

Isteri memainkan peranan yang tidak kurang pentingnya dalam membuat persiapan diri sepanjang masa hamil hingga melahirkan anak. Selain itu, para suami harus memberi penumpuan yang tinggi kepada isteri apabila dia mula hamil. Hinggakan ada istilah father pregnant di kalangan masyarakat Barat.

Perkembangan sebegini harus diikuti oleh semua manusia tanpa mengira keturunan, bangsa dan agama. Pun begitu, umat Islam mempunyai satu lagi senjata hikmat iaitu berserah menerusi doa kepada Allah s.w.t. yang telah merancang dan melaksanakan segala yang bernyawa dan yang tidak bernyawa di muka bumi ini.

Dalam Islam, usaha mendidik anak-anak tidak hanya bermula setelah bayi lahir atau setelah kanak-kanak mumayyiz (berakal), tetapi bermula sejak bayi dalam kandungan lagi. Bahkan jika kita merujuk kepada panduan mencari pasangan hidup, pendidikan bermula daripada memilih pasangan dan mengadakan majlis walimah lagi. Ini disebabkan semuanya mempengaruhi dan memberi kesan kepada bentuk sahsiah zuriat akan datang.

Lantaran itu, sepanjang kehamilan aspek persediaan rohani dan adab penting diambil kira kerana ia menentukan tingkah laku anak yang bakal dilahirkan. Tingkah laku dan perasaan seorang ibu sewaktu mengandung mempunyai pengaruh yang besar terhadap pembentukan sikap dan jiwa anak-anak kelak.

Oleh yang demikian, tenang atau gelora jiwa ibu sewaktu mengandung memberi kesan kepada jiwa anaknya dalam kandungan.

Selain itu, ibu-ibu yang sedang mengandung hendaklah sentiasa menjaga segala pancaindera iaitu mata, telinga, lidah, perut, kemaluan, kedua-dua tangan dan kedua-dua kaki daripada maksiat-maksiat atau dosa-dosa zahir kerana ini akan mengotorkan hati.


Petua

Menyentuh soal kepercayaan dan pengamalan kepada petua-petua tertentu ketika mengandung, ia bukanlah suatu ketetapan atau kewajipan, hanya suatu amalan dan usaha dalam melahirkan zuriat yang cemerlang.

Buku ini mengandungi petua-petua yang menjadi amalan sejak berkurun lamanya dan terbukti membuahkan hasil memuaskan. Akan tetapi, perlu diingat, segalanya ketentuan Allah, kita hanya mampu berusaha.

Aspek penampilan diri juga perlu diambil perhatian biarpun diri berbadan dua. Di samping petua dan amalan kerohanian yang sangat perlu diamalkan oleh ibu-ibu mengandung, persiapan lahiriah juga tak kurang pentingnya. Jadi dapatkan beberapa cara dan tips meningkatkan seri wajah ibu mengandung dalam bab Penampilan Ketika Mengandung.

Ramai wanita yang tidak menghiraukan kesihatan mereka selepas bersalin kerana memikirkan sudah selamat setelah melahirkan anak. Pendapat sebegini harus dielakkan dan berbahaya kepada kesihatan para ibu. Kebiasaannya, selepas bersalin, wanita akan mengalami beberapa masalah umum yang tidak sepatutnya diambil ringan.

Buku ini juga menyentuh berkaitan penjagaan dan rawatan selepas bersalin. Ramai wanita yang tidak mempedulikan bentuk badan dan kesihatan mereka setelah bersalin. Cara begini salah dan boleh mengundang kepada masalah perhubungan suami isteri.

Oleh itu, untuk menjaga dan merawat kesihatan selepas bersalin, beberapa petua dilampirkan. Sikap isteri yang mengambil ringan tahap kesihatan dan bentuk badan selepas bersalin akan membawa impak negatif kepada perhubungan suami isteri.

Ibu-ibu juga digalakkan melakukan sedikit senaman untuk melancarkan peredaran darah, pencernaan atau penghadaman makanan, memperbaiki selera makan dan mengurangkan kegelisahan. Senaman juga boleh membantu memudahkan waktu bersalin. Selain bertujuan menjaga kesihatan ibu dan anak dalam kandungan, senaman juga dapat memudahkan saat-saat bersalin.

Bab 16 pula menyentuh tentang penyusuan bayi. Susu ibu amat penting bagi perkembangan fizikal dan mental anak-anak. Susu dianggap sebagai kunci hubungan antara pemakanan dengan faktor kejiwaan serta kesan hubungan rapat antara anak dengan ibu. Kesan penyusuan, sama ada kandungan zat susu dan adab-adab ketika menyusu, menjadi faktor ke arah pembentukan peribadi anak-anak.

Secara keseluruhannya buku ini banyak mengutarakan panduan untuk ibu-ibu mengandung, suri rumah, bakal pengantin, pengantin baru, pengantin veteran dan remaja yang bakal menempuh alam kedewasaan.

Teksnya yang dipermudahkan dalam bentuk byline, flashers, nota ringkas, sub-tajuk dan kisah serta foto-foto yang realistik memberi gambaran bahawa kehamilan adalah sesuatu yang biasa dan mudah dilalui.

Selain itu, paparan beberapa ilustrasi yang menarik, berjenaka dan merehatkan pembacaan serta diselangi dengan gambar rajah, carta, grafik, hiasan dan jadual sekali gus menjadi ia mudah difahami dan senang diingat.

Bagi melengkapkan amalan, buku ini juga turut diselitkan ayat al-Quran, hadis dan doa yang amat berguna untuk hafalan dan rujukan sebelum, semasa mengandung dan selepas melahirkan anak.


Sumber: Utusan Malaysia, 28/04/2006

0 comments:

Post a Comment

Followers